Episod 8 - Musim hantu penanggal
Hampir dua minggu aku menghabiskan musim cuti sekolah penggal ketiga dengan mengikuti datuk menjala udang galah di Sungai Benut. Hasil tangkapan itu datuk akan menjualnya di pasar Benut. Waktu itu harga udang galah tidaklah semahal sekarang. Sekali tangkapan dapatlah pendapatan lebih kurang tiga ringgit. Dapatkan kami membeli beras, gula dan barang keperluan dapur yang lain. Menangkap udang mengikut musimnya. Selalunya datuk menjala selepas hujan terutamanya waktu air pasang. Datuk akan menabur sedikit beras, kemudian jala akan di tebarkannya. Sekali tebar, adakalanya dapat seekor, dua, tiga, empat ekor, adakalanya tiada dan adakalanya dapat ikan duri ( yang akan merosakkan benang jala ).
Datuk selalu menjala sewaktu air pasang (gambar hiasan)
Pada kebiasaannya datuk menjala di waktu pagi dan pulang sebelum matahari tegak dilangit. Anggaranku sebelum sebelas pagi. Kadang-kadang aku hanya menunggu di tebing ( tempat pondok rehat ) sambil mencari paku pakis yang tubuh meliar disepanjang tebing sungai. Selalunya jika memetik paku pakis, aku bersama kakak-kakakku. Pucuk paku pakis yang berwarna hijau biasanya dimasak lemak dan jika pucuk paku pakis merah dimasak asam rebus. Sungguh enak rasanya.
Selepas solat Maghrib berjemaah di rumah, biasanya datuk akan mengajak aku kesurau untuk solat Isyak. Kami akan berbasikal kesurau yang terletak hampir satu batu dari rumah. Dengan lampu basikal kargo yang hampir malap itu, datuk dan aku menyusuri malam yang semakin gelap. Kalau berbasikal dengan datuk diwaktu malam, aku akan duduk dibelakang seperti kebanyakan orang. Aku tak berani membelakangkan datuk sebagaimana kegemaranku. Aku tak sanggup menghadap kebelakang kerana pandangannya cukup gelap dan menakutkan.
Kami sampai di surau apabila "kentung" dibunyikan, menandakan masuk waktu Isyak. Dihalaman surau terdapat dua andang api yang menerangi kawasan surau. Di dalam surau pula terdapat dua lampu pam sedang menyala terang benderang. Setelah azan Isyak dilaungkan, Jemaah surau melakukan solat sunat.
kentung
Surau lama
Obor / Andang Api
Lampu Pam / Gasolin
Sementara menunggu bilal iqamah, Pak Long Deraman yang duduk bersebelahan dengan datuk berbisik sesuatu ke telinga datuk. Aku yang kebetulan duduk dibelakang datuk turut memasang telinga.
" Tak dengar cerita weh?" Bisik Pak Long Deraman.
" Cerita apa ?? Tanya datuk perlahan.
" Hantu Penanggal mengamuk kat kampung seberang " Jelas Pak Long Deraman lagi.
" Hantu Penanggal???" Tanya datuk sedikit terperanjat.
" Lepas Maghrib tadi, kita dah berpakat nak meronda kat darat malam ni..." Sambung Pak Long Deraman sambil bangun setelah mendengar iqamah dari bilal.
" Kalau weh nak meramaikan lagi, boleh le ikut malam ni.." kata Pak Long Deraman sambil menuju beriringan dengan datuk ke saf hadapan.
Semasa solat Isyak, seperti biasa aku di saf paling belakang. Jumlah Jemaah adalah lebih kurang tiga puluh orang dan membentuk empat saf. Mamandangkan aku di saf paling belakang, mataku melilau kekiri dan kekanan. Sesekali menjeling ke tingkap surau. Manalah tahu ada kepala hantu penanggal mengendap kami solat. Ada kalanya aku memikirkan yang aku akan pulang kerumah lepas solat Isyak, dan menempuh kegelapan malam dengan duduk dibelakang datuk. Manakala datuk mengayuh basikal dengan kelajuan yang meletihkan. Buat nya ada hantu penanggal mengekori kami dari belakang. Dah lah aku ni penakut. Tiba-tiba aku mendapat buah fikiran,
" Apa kata balik nanti biar aku yang bawa basikal dan datuk duduk dibelakang?"
" Tapi.... percayakah datuk???" bisik hati ku...
"Assalamu'alaikum warah matullah " tiba-tiba Imam memberi salam penamat solat Isyak.
Dan hatiku bertambah cemas...
Gambaran Hantu Penanggal yang kureng menakutkan...






No comments:
Post a Comment