Wednesday, 6 August 2014

Episod 6 - Tok Anjang
 
Dalam perjalanan ke Parit Pinang, aku menyanyi keriangan. Duduk di "kariar " basikal belakang datuk dengan duduk terbalik, cukup menyeronokkan. Memang menjadi kebiasaanku duduk membelakangi datuk. Sebagai langkah keselamatan manalah tahu di"bom" datuk pada bila-bila masa. Sambil menyanyi lagu-lagu A.Ramli aku mengunyah tebu yang dibekalkan nenek ( Aku berpeluang mendengar lagu-lagu A.Ramli, Jefreydin, P.Ramli bila berkunjung kerumah kawan-kawanku di pekan Benut waktu balik dari sekolah. Ada diantara mereka adalah anak-anak guru sekolah dan mampu memiliki pemain piring hitam. Antara lagu kegemaranku waktu itu ialah Anak Tani dendangan A.Ramli. Kalau hari raya, semestinya lagu Dendang Perantau sentiasa bermain dibibir ). Datuk mengayuh perlahan basikal kargonya yang walaupun sudah tua, namun masih kuat menyumbang bakti.

Sesekali dalam perjalanan, datuk mengelak lopak-lopak disepanjang jalan. Menuju ke rumah Tok Anjang, kami harus menyusuri jalan tanah merah dan adakalanya melalui jalan yang berselut. Disebelah kiri kami, terdapat parit kecil yang jernih airnya. Seronok apabila melihat anak-anak ikan puyu berkeliaran didalam air. Sesekali datuk memberhentikan basikalnya untuk membuang selut yang melekat dicelah tayar. Sementara datuk berhenti, aku mengambil kesempatan mengutip biji-biji getah yang terdapat dikawasan itu.
 

 
Biji-biji getah permainanku semasa kecil

 
Dalam perjalanan yang mengambil masa yang agak lama itu, adakalanya kami berselisih dengan orang-orang kampung dari kampung sebelah. Ada yang menaiki basikal dan ada yang berjalan kaki. Kami harus melalui Kampung Lama dan Parit Rambai  untuk sampai kerumah Tok Anjang. Setelah berbasikal hampir dua jam, barulah kami sampai.

Waktu kami sampai, Tok Anjang sedang mengait buah manggis di pohon yang tertanam di keliling rumahnya. Rumahnya rumah atas seperti rumah datuk. Tuk Anjang tersenyum  memandang kami.

"Assalamu alaikum" Datuk memberi salam.

"Wa'alaikum salam...." Jawab Tuk Anjang.

"Wah.... besar dah cucu kau ni weh..." Sapa Tuk Anjang lagi sambil bersalaman dengan datuk.

Aku turut bersalam dengan Tuk Anjang sambil mencium tangannya. Tuk Anjang memimpin tanganku menuju ke anjung rumahnya, Manakala datuk menyorong basikal menuju kebawah rumah kemudian menurunkan kelapa yang dibawanya.

Tuk Anjang yang berbaju "Pagoda" putih, berseluar panjang hitam aku lihat masih kuat dan sihat. Umurnya aku agak dalam lingkungan tujuh puluh tahun. Orangnya sentiasa tersenyum. Menurut datuk, Tok Anjang adalah satu-satu adik beradiknya yang tinggal. Dia merupakan abang kepada datuk. Isteri Tok Anjang sudah lama meninggal dunia. Tok Anjang tinggal bersama anak perempuannya, Kak Salmi. Kak Salmi masih belum berumah tangga. Umurnya lebih kurang tiga puluh lima tahun. Entah kenapa dia masih membujang, aku pun tak tahu. Mungkin jodohnya belum sampai lagi. Aku meneka. Waktu itu Kak Salmi tiada dirumah. Kata Tok Anjang dia ke darat menghantar baju yang ditempah kawannya.
 
"Makan tengahari disini ye weh?" Tok Anjang berkata kepada datuk apabila melihat datuk duduk di anjung. Datuk mengangguk sambil mengeluarkan rokok daun.
 
"Tadi tu... si Salmi dah masak, sebelum ke darat.." tambah Tok Anjang.
 
" Salmi tu, belum terbuka hati lagi ke Anjang?" Tanya datuk sambil menyalakan api ke rokok daunnya menggunakan mancis batu.
 
" Belum... ntahlah... dah ramai yang nanya, semua ditolaknya..." keluh Tok Anjang.
 
" Ha.. kau tunggu apa lagi Ucu, pergi ler siapkan makan tengah hari..." Tok Anjang memberi arahan kepadaku.
 
Tengah hari itu kami makan masakan yang dimasak olek Kak Salmi. Pucuk ubi masak lemak, ikan puyu goreng, sambal tumbuk cili padi bersama nasi yang dicampur bersama ubi. Berselera sugguh aku makan, maklum ler... tengah lapau...
 
 






YUMMY!!!

No comments:

Post a Comment