Wednesday, 6 August 2014

Episod 4 - Perempuan cantik
 
Kami sampai ke hilir Sungai Benut agak petang. Aku turun ke tebing sungai terlebih dahulu untuk menambat perahu di jeti. Datuk dan aku memunggah daun nipah dan diletakkan dibahu jalan tanah merah. Ini bagi memudahkan untuk di jual kepada peraih. Datuk mengambil dua ikat daun nipah untuk dibawa pulang kerumah (untuk membuat atap bagi menggantikan atap dapur yang bocor). Sesudah itu kami membersihkan diri di jeti  kemudian solat Asar dipondok berhampiran (pondok tersebut di dirikan oleh orang-orang kampung untuk tujuan solat dan berehat). Sesudah solat Asar, kami pun pulang kerumah yang jauhnya lebih kurang satu batu dari Sungai Benut. Datuk memikul dua ikat daun nipah tersebut manakala aku membawa peralatan serta buah berembang.
 

 
 
Daun nipah yang telah dibuat atap
 
Semasa dalam perjalanan pulang aku sentiasa memikirkan Kampung Pohon Ketapang, wanita cantik, yang aku lihat pagi tadi. Apakah datuk nampak? Apakah datuk tidak nampak? Ataupun datuk buat-buat tidak nampak? Sesekali aku mendahului datuk dalam perjalanan pulang. Sesekali datuk mendahului aku, dan sesekali aku merasa ada sesuatu yang mengekori kami dari belakang. Sesekali juga aku menoleh kebelakang, tiada sesiapa yang mengekori.
 
"Apa yang kau pandang tu Ucu ?" Tanya datuk..

"Takde apa la tuk...." jawab ku cepat..
 

 Teringat rumah datuk
 
Kami sampai dirumah waktu remang senja. Kakak-kakakku, Uda, Andak, Uteh dan Tam (Itam) menyambut kepulangan kami. Aku menghulur buah berembang pada Tam. Nenek sedang menutup pintu reban ayam.
 
Selepas solat Isyak, kami membuat kerja-kerja sekolah dan mentelaah buku. Dikesempatan itu aku menceritakan apa yang berlaku pagi tadi kepada kakak-kakakku. Mereka mendengar dengan penuh minat.
 
"betul ke atuk cerita Ucu ni?" Tanya Uda kepada datuk.

"Ucu kau tu kuat berkhayal...." jawab datuk sambil menghirup kopi pahit tanpa gula.

"Pembohong....." Kata Uda diikuti deraian ketawa kakak-kakakku yang lain.

Aku hanya diam sambil memandang nenek. Nenek tersenyum sahaja.

Lewat malam kami bersedia untuk tidur dalam kelambu. Kakak-kakakku satu kelambu. Aku seorang dalam kelambu kecil manakala datuk dan nenek satu kelambu di sebelahku. Sewaktu kakak-kakak ku sedang tidur, aku dengar suara datuk dan nenek sedang berbual perlahan.

"Ucu jumpa apa yang kita jumpa hari tu weh.." kata datuk kepada nenek.

"Kita percaya cakap dia tadi... tu yang kita senyum.." jawab nenek.

"Jangan beritahu kakak-kakak dia.." datuk berkata lagi..

"mmmm" jawab nenek..

Aku tak ingat bila aku tidur. Aku tersedar bila aku dengar suara perempuan memanggil aku dari luar rumah. Aku tak tahu pukul berapa, tapi rasanya tengah malam.. Aku bangun. Aku toleh kiri, kakak-kakaku sedang lena diulit mimpi. Aku toleh kanan, nenek dengan datuk pun sedang lena tidurnya. Aku baring semula..

"Ucu...... Ucu.......Ucu ....." Suara perempuan jelas memanggilku perlahan.

Suara itu rasanya di bawah rumah. Betul-betul dibawah lantai tempat tidurku... Aku selubung seluruh tubuhku dengan selimut. Kedengaran suara burung hantu bersahut-sahutan. Kemudian aku dengar cakaran kuku di bawah papan lantai. Aku mengigil ketakutan. Kemudian cakaran itu senyap.. Setengah jam kemudian aku memberanikan diri membuka selimut yang menutupi muka secara perlahan-lahan. Aku terperanjat. Seorang wanita berada dalam kelambu.... kelambu aku..... 

No comments:

Post a Comment