Wednesday, 6 August 2014

Episod 7 - Senja yang menyeramkan
 
Setelah selesai menikmati makan tengah hari, aku, datuk dan Tok Anjang pergi ke surau yang terletak tidak jauh dari rumah Tok Anjang. Kami solat Zohor bersama orang-orang kampung. Rasanya cuma aku jemaah yang paling muda. Dan oleh kerana aku belum "masuk jawi", aku berada di saff paling belakang. Setelah selesai solat, Tok Anjang bersembang dengan rakan-rakannya. Tok Anjang memperkenalkan datuk dan aku kepada orang-orang kampung. Begitulah damai dan mesranya masyarakat dahulu. Dikesempatan itu, aku mengambil peluang baring di surau kayu yang berlantaikan batang pinang. Akhirnya aku terlelap. Dalam terlelap itu, masih sempat aku bermimpi ibuku. Sebenarnya aku rindu sangat dengan ibu dan abah yang berada jauh di Singapura. Harap-harap mereka akan balik kampung cuti sekolah ini. Aku di kejutkan datuk bila bilal sedang qamat solat Asar. Aku bergegas mengambil wudhu dan sekali lagi berdiri di saff belakang untuk solat Asar.

Tiba masanya untuk pulang kerumah. Tok Anjang membekalkan aku buah manggis untuk dimakan dalam perjalanan, manakala untuk nenek dan kakak-kakak, datuk letakkan guni berisi manggis diatas palang hadapan basikal. Setelah bersalaman dengan Tok Anjang, kami bergerak pulang. Seperti biasa aku duduk dibelakang dan membelakangkan datuk. Aku lambai Tok Anjang. Tok Anjang membalas lambaianku sambil mengelengkan kepalanya.

Dalam perjalanan pulang terasa amat lambat. Mungkin disebabkan muatan manggis menganggu kayuhan datuk, Kami memasuki kebun-kebun getah. Suasana agak redup dan gelap. Tiba-tiba datuk memberhentikan kayuhan basikal.
 
"Kenapa tuk?" Aku bertanya sambil menoleh kedepan.
 
"Tu...." Datuk memuncungkan bibir menunjukkan sesuatu.
 
Aku lihat dahan pohon getah telah jatuh menghalang perjalanan kami. Aku turun dari basikal. Datuk menongkatkan basikalnya ketepi. Kami menuju ke dahan yang patah itu untuk mengalihkannya. Belum pun sempat kami mengangkat dahan tersebut, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi ayam jantan berkokok di celahan semak dibelakang datuk.
 
 
Ayam jantan
 
Aku memandang datuk. Perasaan cemas mula menghantui diri ini. Datuk terus mengalihkan dahan yang jatuh tadi tanpa menghiraukan kehadiran bunyi ayam jantan itu. Kokokan ayam jantan  berterusan. Datuk memandangku seraya berkata,
 
" Pelikkan, dah senja begini ayam tak balik reban? Ayam kampung pulak tu..."
 
"Pedulikan ayam tu... meh kita balik " Datuk memberi arahan seraya menuju ke basikal.
 
Kami meneruskan perjalanan, tetapi kali ini aku duduk dibelakang datuk dengan mengadap kehadapan (dengan cara yang betul). Kali ini aku tak kisah kalau di "bom" datuk. Sebenarnya aku ni seorang yang penakut. Sepanjang perjalanan melalui kebun getah itu, aku sentiasa memandang kebelakang. Manalah tahu ada yang mengikut. Sesekali tu, terdengar juga bunyi tapak kaki orang memijak daun kering. Aku seakan mahu menggantikan datuk yang mengayuh basikalnya dengan kelajuan yang amat perlahan.
 


Kebun getah yang menghijau diluar tapi gelap didalam

 
Lewat senja baru kami melepasi kebun-kebun getah yang gelap itu. Hatiku merasa lega. Kalau lah di upah seratus ringgit pun, tak ingin aku melaluinya diwaktu begini seorang diri. Mujur juga perjalanan kami hari ini tiada halangan yang besar. Aku cukup takut kalau basikal kargo datuk pancit didalam kebun getah tadi. Akhirnya kami sampai juga ke rumah disambut oleh kakak-kakakku yang terkenal dengan becoknya menanyakan kenapa lambat pulang rumah. Datuk yang memang suka melawak hanya menjawab,
 
" Singgah rumah Perdana Menteri"
 
Dan kakak-kakakku pun tidak bertanya lagi....

No comments:

Post a Comment