Episod 9 - Perjalanan pulang yang di ganggu
Setelah solat Isyak, lampu pam surau dimatikan. Surau hanya diterangi oleh cahaya andang api di halaman. Jemaah surau (orang-orang kampong) berkumpul menunggu taklimat dari Pak Imam yang juga merangkap Ketua Kampung ( Tok Ayub ).
" Kita mula dari darat, lima belas orang ikut Pak Long Deraman.. manakala bakinya ikut saya, kita ke laut " Pak Imam memberi arahan bagaikan Sarjan Mejar pencen.
"mmm weh... kau nak ikut tak?" Tanya Pak Imam kepada datuk. Aku berharap datuk berkata tidak.
" Kita tak boleh lah Pak Imam, esok pagi cadang nak ke Permatang Duku... " Jawab datuk. Lega rasa hati ini.
" Baiklah, kita bergerak sekarang... Ambil andang satu kumpulan satu.." Pak Imam berkata sambil mula bergerak ke kanan. Manakala kumpulan yang mengikut Pak Long Deraman bergerak kekiri.
"Allahu Akbar!! " Orang-orang kampong bertakbir, penuh bersemangat.
Aku dan datuk menuju ke basikal. Kami mula bergerak pulang menyusuri jalan kecil yang gelap gelita sambil dibantu cahaya lampu basikal yang suram. Pada mulanya aku ingin mencadangkan biar aku yang bawa basikal, tapi cadangan itu tidak terkeluar dari mulut ini. Sudahnya sepanjang jalan aku duduk dibelakang datuk dengan kepalaku yang sentiasa tertoleh-toleh kebelakang...
Perjalanan pulang kerumah, datuk mengayuh agak laju sedikit. Mungkin datuk tak mahu terserempak dengan hantu penanggal agaknya. Di kiri kananku penuh dengan semak samun. Sesekali ternampak cahaya api rumah orang-orang kampong yang jaraknya jauh antara satu sama lain. Adakalanya cahaya bulan yang menyinari membantu perjalanan kami, itupun jika ia tidak dilitupi rimbunan pohon-pohon getah. Di satu persimpangan aku lihat dari jauh cahaya yang amat terang di celah rimbunan pohon-pohon . Seolah-olah ada cahaya elektik . Seolah-olah ada pesta. Mana ada elektrik waktu itu dikampung aku? Semakin kami menghampiri, semakin seram aku jadinya. Bulu tengkukku tegak berdiri. Tapi, aku lihat datuk mengayuh tenang dan memperlahankan basikalnya. Apabila sampai ditempat yang terang itu, datuk berhenti.
"Ah.. sudah.." bisik hatiku.
"Kau lihat tu.. Betapa hebatnya serangga yang mengeluarkan cahaya.. Kau tahu apa tu?" Datuk bertanya. Aku hanya diam terpaku dan mulut terngaga melihat cahaya terang dihadapan kami.
"Kunang-kunang" Terang datuk kepadaku.
Kunang-kunang atau kelip-kelip adalah serangga yang mengeluarkan cahaya (Sekarang amat sukar untuk menjumpai serangga tersebut). Kunang-kunang tersebut berkumpul mengikut kumpulan. Ada yang berkumpul dan ada yang bergerak secara berkumpulan. Kalau di hitung, tak terhitung banyaknya ... mungkin lebih dari seribu. Kemudian datuk mengayuh kembali. Aku memerhati kunang-kunang sehingga kepalaku senget kebelakang. Tapi kali ini aku bukan sahaja nampak kunang-kunang, tetapi "benda tergantung" di udara sedang mengekori kami.... Semakin lama semakin laju ia menghampiri.
Kunang-kunang menerangi jalan
Benda tergantung itu terbang lebih kurang sepuluh kaki dari aras bumi. Adakalanya ia terbang tinggi, adakalanya rendah. Aku nampak benda terbang itu agak jelas kerana dibelakangnya ialah kunang-kunang yang ku lihat tadi. Apabila ia hampir seratus meter dibelakangku, aku lantas memberitahu datuk sambil memeluk pinggang datuk dalam keadaan yang amat takut.
" Datuk... belakang ada benda terbang mengikut kita...." kataku dengan suara menggigil.
Datuk seakan tidak mendengar kata-kataku, terus mengayuh basikal dengan tenang sambil aku mendengar dia membaca surah-surah Al-Quran. Aku memejamkan mata dan memeluk datuk sekuat hati. Dikala itu juga aku mendengar bunyi seakan desiran angin rebut dibelakangku, semakin lama semakin dekat. Aku pasrah... apa nak jadi, jadilah... sambil diri bertawakal kepada Allah... dan lebih menakutkan lagi, ada sesuatu yang mencuit belakangku....
Ribut melanda
"Benda Tergantung" yang menyakitkan hati



No comments:
Post a Comment