Wednesday, 6 August 2014

Episod 3 - Kampung Pohon Ketapang
 
Selepas solat Zohor berjemaah bersama datuk, aku pun cepat menuju ke perahu. Hati ini tidak sabar untuk singgah ke "Kampung Pohon Ketapang" . Wajah perempuan cantik itu seakan melambai-lambai kepadaku. Kalau bernasib baik, bolehlah aku singgah kerumahnya. Untung-untung dijamunya makan nasi. Aku mula memasang angan-angan.
 
Aku naik perahu terlebih dahulu, manakala datuk membuka ikatan tali perahu dan menolak ketengah sungai. Datuk melompat ke perahu bagai pahlawan, dan terus berkayuh mudik ke hilir. Petang itu cuaca agak redup. Di sepanjang perjalanan balik, aku melihat gelagat kera-kera melompat bergayut di pohon berembang disepanjang sungai. Sesekali datuk menyusuri tebing sungai melalui pohon berembang yang rendang. Kesempatan itu aku ambil untuk memetik buah berembang yang masak buat bekalan makan dan sebagai buah tangan untuk kakak-kakakku di rumah. Buah berembang yang masak rasanya masam-masam manis (Enak dimakan bersama garam atau kicap)

Lebih kurang satu setengah jam perjalanan, dari kejauhan aku mula ternampak pohon ketapang bercabang dihadapanku. Hatiku berdebar-debar. Lebih kurang 100 meter, aku mula nampak jeti tambatan perahu. Aku pasti, itulah kampung Pohon Ketapang yang ku lihat pagi tadi. Datuk mula menghampiri jeti tersebut disebelah kiri. Perahu kami berhenti dijeti tersebut. Aku dilanda kehairanan. Kenapa tiada kampung? Tiada orang-orang kampung, tiada perempuan, tiada lelaki, tiada budak-budak, malahan hutan rimba dihadapanku. Jeti tambatan perahu pula agak usang. Ia diperbuat dari belahan batang pinang.

"ha, kata nak singgah... naik la jeti tu..." kata datuk sambil menambat tali ditiang jeti.

Aku memandang datuk, mengharap belas agar kata-katanya itu tidak serius. Sebenarnya hati ini mula cemas dan seram. Tambahan pula suasana ketika itu cukup sunyi. Aku memandang sekali lagi di Kampung Pohon Ketapang. Sumpah, memang hutan belantara.

"takpe la tuk.. kita balik jer.." aku cepat memberi arahan.

Datuk tersenyum sinis sambil membuka ikatan tali perahu dan terus berkayuh ketengah sungai. Aku memandang ke hadapan dengan seribu persoalan.

"Orang dah bagi peluang singgah, tak mau pulak..." datuk mula berleter.

Aku diam sahaja. Setelah hampir 200 meter perahu kami meninggalkan Kampung Pohon Ketapang, aku menoleh kebelakang. Aku hampir pengsan apabila melihat seorang perempuan sedang melambai-lambai tangan kepadaku. Aku pasti, itulah wanita pagi tadi. Aku ingin memberitahu datuk, tapi suaraku tersekat dikerongkong. Pantas aku menoleh kehadapan dan tidak sanggup menoleh kebelakang lagi...

 

 
Siapakah wanita cantik di dalam hutan ini? (Gambar hiasan)

No comments:

Post a Comment