Thursday, 13 November 2014

Salam Semua...
Aku masih lagi dalam pertapaan di puncak Himalaya......

Tuesday, 7 October 2014

SALAM SEMUA..
AKU MASIH LAGI DALAM PERTAPAAN....

Tuesday, 19 August 2014

Episod 14 - Nenek Lampir di kebun

Esoknya Along memberitahu datuk yang dia hendak ke kebun abah di Sanglang ( kami memanggil bapa dengan panggilan abah ). Dia bercadang hendak pergi bersama Poksu. Along memberitahu datuk yang abah ada pesan kepada Along supaya melihat kebunnya jika balik kampong. Datuk mengangguk sambil memandang kepadaku. Aku tahu, datuk seakan menyuruh aku mengikut sama. Ini adalah kerana orang-orang kampong di Sanglang lebih kenal aku berbanding Poksu atau Along sebab aku selalu menemani datuk ke Sanglang ( ke rumah kawan-kawannya ).
 
" Bawa Ucu sekali.." Kata datuk kepada Along.
 
" Kita balik esok tuk.. nak bermalam di pondok.." Balas Along.
 
" Berani ke Along ? " Sampuk Uteh yang sedari tadi asyik mengorek lombong di hidungnya.
 
" Kenapa ? Ingat kita ni penakut ke?? " Along menjawab terasa tercabar.
 
" Sudah.. jangan nak bertengkar..  Kalau takut, balik rumah.." Kata datuk sambil bangun menuju ke anjung rumah.
 
Setelah bersiap, pagi itu aku, Poksu dan Along bertolak ke kebun Sanglang menaiki basikal kargo kesayangan datuk. Seperti biasa aku menjadi "beruk" (duduk dipalang hadapan). Untuk pergi ke Sanglang dari pekan Benut, kami terpaksa melalui beberapa buah kampong. Pertama kami melalui kampong Sungai Pinggan, kemudian Parit Asam Kumbang, kemudian Parit Marjunid, kemudian Parit Tengah, kemudian Parit Gantung kemudian barulah kami sampai ke pekan Sanglang. Perjalanan mengambil masa hampir dua jam. Di pekan Sanglang, kami singgah sebentar ke kedai makan untuk  membeli roti canai sebagai bekalan makan di kebun.
 
Dari pekan Sanglang kami menuju kekebun melalui Kampung Parit Kassan. Kali ini Along yang membawanya manakala Poksu duduk dibelakang dan aku masih lagi menjadi "beruk". Laluan ke Parit Kassan agak sempit. Kami terpaksa menyusuri tebing parit kecil. Adakalanya basikal kami tergelincir dan hampir kami semua masuk dalam parit. Mujur juga Along pandai mengawal basikal ( Along lebing tinggi daripada Poksu ). Kampung Parit Kassan di beri nama sempena  tanah yang dimiliki oleh Haji Kassan ( orang kaya Sanglang ) terlalu luas.
 
Setelah satu jam perjalanan, kami sampai dikebun yang terletak di tepi jalan Parit Kassan. Along membelokkan basikal dan terus menuju ke pondok. Kalau di lihat pondok tanpa dinding dan hanya beratap rembia, tak sanggup rasanya aku nak bermalam disitu. Along meletak basikal di tepi pondok. Poksu mengumpul ranting-ranting kayu lalu di buat unggun api untuk menghalau nyamuk. Along naik ke pondok lalu dibersihkan lantai pondok yang dipenuhi daun-daun kering. Aku pula memerhati pokok-pokok duku, durian, manggis dan petai disekitar pondok. Kebun bapaku mempunyai keluasan dua ekar setengah. Aku lihat hanya pokok duku yang berbunga, tetapi petai sudah berbuah dan rasanya boleh diambil.

"Mari pekena roti canai.." Along berkata sambil membuka bungkusan roti canai.

Sungguh enak makan roti canai di dalam kebun. Setelah makan, Along mengambil parang panjang dan menebas semak samun di kebun manakala Poksu mengajak aku mengambil petai. Poksu memang handal memanjat pokok. Pokok petai yang tinggi itu boleh dipanjatnya dan dengan pantas dia memulas tangkai petai. Aku rasa beruk pun kalah dengan Poksu. Setelah dapat hampir seratus tangkai, Poksu pun turun dan mengajak aku menggali ubi cambah ( ubi yang tumbuh liar )untuk dibuat makan malam. Petang itu kami mandi bergodak ( tak tahu apa maknanya ) di parit di dalam kebun. Air nya jernih dan sejuk sekali.

Menjelang Maghrib, Poksu menambah ranting kayu di unggun api. Selesai solat Maghrib, kami makan ubi bakar bersama kopi ( sedapnya terasa sehingga sekarang ). Setelah solat Isyak, kami pun baring untuk tidur dipondok yang terlapang kiri,  kanan, depan , belakang. Waktu aku baring, baru aku perasan yang tidak ada seorang manusia pun aku jumpa selain Poksu dan Along samaada di kebun atau ditepi jalan. Aku toleh kekiri, aku lihat Along dengan tangan menutup dahi sedang merenung atap pondok. Aku tak boleh meneka apa yang bermain difikiran Along. Aku  toleh kekanan. Aku lihat Poksu pun sedang merenung atap pondok. Kalau Poksu, aku boleh meneka apa yang sedang merewang dalam fikirannya. Tentu Poksu dan Mardiana sedang berada di puncak Himalaya...
 
Malam itu aku tak boleh tidur. Gangguan nyamuk kebun cukup menyeksakan. Itu belum lagi dengan bunyi burung hantu yang menakutkan. Yang menghairankan aku, macam mana Poksu dan Along boleh berlawan berdengkur. Sesekali aku memandang unggun api yang hanya tinggal bara dan asap. Sesekali itu juga aku lihat kelibat binatang se akan musang. Lewat dinihari baru aku dapat melelapkan mata.
 
Aku terjaga bila terdengar kokok ayam kampong. Cahaya matahari subuh gajah (lewat subuh) sudah mula kelihatan. Aku terperanjat bila melihat Along dan Poksu sudah tiada disisi. Basikal datuk pun tiada. Mesti mereka ke pekan Sanglang membeli sarapan. Aku bangun untuk solat Subuh. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan kehadiran seorang perempuan tua bongkok berselubung, bertongkat dengan memegang sesuatu ditangan tercongok dihadapanku. Perempuan tua itu menghulurkan sesuatu ditangannya kepadaku.
 
" Nah... lempeng pisang..." Perempuan tua itu meletakkan apa yang dikatakan lempeng pisang itu di atas lantai pondok apabila aku tidak menyambut pemberiannya. Kemudian dia berlalu pergi.
 
Mulut aku masih terlopong. Terperanjat menatapi wajah bagai nenek lampir sebentar tadi.... Entah kenapa diri ini selalu diduga dengan perkara-perkara yang menakutkan. Aku melihat lempeng pisang pemberian "nenek lampir" itu tadi. Masih berasap panas dan di balut dengan daun pisang. Segera aku turun dari pondok untuk ke parit berdekatan dengan tujuan mengambil wudhuk. Aku wajib solat subuh dahulu sebelum waktu luput.

Setelah selesai solat Subuh, aku membuka balutan daun pisang. Memang benar. Lempeng pisang. Bau aroma lempeng pisang bakar menerpa kehidungku. Alangkah enaknya bau lempeng pisang tersebut tambahan pula masih panas. Aku ingin menjamahnya, tapi lebih baik aku tunggu Poksu dan Along terlebih dahulu. Aku membungkus semula lempeng pisang itu. Timbul juga persoalan. Apakata sekejap lagi lempeng pisang itu bertukar menjadi  tanah. Tiba-tiba bulu tengkukku meremang.

Poksu dan Along tiba di pondok waktu sudah agak cerah. Di tangan Poksu terdapat bungkusan roti canai dan dua tin (pot susu) air teh.

"Apa benda tu ? " Tanya Poksu melihat bungkusan daun pisang.

" Mmm... pagi tadi, ada nenek beri lempeng pisang.." Jawabku tersekat-sekat.

" Nenek tua ? Ucu biar betul..." Tanya Along macam tak percaya.

" Betul lah... lempeng pisang bakar... sedap ni.." Poksu berkata sambil terus menyuapkan lempeng pisang bakar itu kemulutnya. Poksu memang terkenal dengan sifat gelojohnya.

Apabila melihat Poksu menyantap, kami pun tak tunggu lagi. Setelah kenyang bersarapan lempeng pisang bakar dan roti canai, kami pun berkemas untuk pulang kerumah.

" Ucu, asingkan petai dalam sepuluh papan... beri pada nenek tadi.. " Poksu memberi arahan.

" Mana Ucu tahu rumah dia .. " Jawabku sambil tetap mengasingkan petai sepuluh papan.

" Nanti kita pergi belakang kebun.. mungkin rumahnya ada dekat-dekat sini.." Poksu berkata dengan penuh yakin.

Sebelum bertolak balik, aku, Poksu dan Along menyusur kebelakang kebun. Setibanya di sempadan, memang benar terdapat sebuah rumah disitu. Sebuah rumah yang agak usang. Kami serba salah samada hendak pergi atau tidak. Akhirnya Poksu memberanikan diri memberi salam.

" Assalamu' alaikum..... " Kata Poksu. Tiada jawapan..

" Assalamu'alaikum..... " Poksu memberi salam lagi. Kali ini agak kuat sedikit.

" Wa'alaikum salam... " Kedengaran suara perempuan menjawab salam Poksu. Hati kami berdebar-debar mendengar bunyi lantai rumah dipijak dan mendengar pintu berkeriut dibuka.

Bila pintu di buka sahaja, betul-betul kami terperanjat...

" MARDIANA ??? " Kami berkata serentak.... dan mulut kami terlopong, tapi mulut Poksu lebih luas lagi kerterlopongannya...

Di belakang Mardiana yang cantik itu, berdiri nenek lampir yang bongkok sambil tersengih memandang kami dengan sentil tembakau dibibirnya...
 
Nenek Lampir yang menggoda
 
Lempeng Pisang Bakar
 
Rumah usang dibelakang kebun
 
 
 
TAMAT
( Bersambung di Musim Kedua )


Monday, 18 August 2014

Episod 13 - Misteri Terungkai

"PAP!! PAP!!..."
Badanku terasa ditampar dari belakang. Aku masih memejamkan mata  sambil tanganku memeluk tubuh. Aku berada dalam keadaan meniarap di dalam semak samun.
 
"Abang... hii..hii.. bangun lah..." Suara perempuan mengilai masih kedengaran lagi sambil tangannya menepuk-nepuk belakangku.

Aku memberanikan diri. Dengan badanku yang menggigil, perlahan-lahan aku membuka mata.

"Mana Along?" Mataku melilau mancari Along. Jelas sekali Along sudah menghilangkan diri. Bercupak-cupak aku menyumpah abangku yang tergamak meninggalkan aku bersama puntianak. Sekali lagi aku memberanikan diri memandang kebelakang. Aku tiada pilihan lain. Apa nak jadi, jadilah. Aku lihat "puntianak" tadi sedang duduk bersila mengadapku. Kali ini aku dengan jelas sekali dapat menatap wajah "puntianak" secara langsung.

Wajahnya sebenarnya putih tapi comot. Rambutnya masih berselerak. Bajunya putih, tetapi terdapat kotoran tanah yang melekat. Kakinya....bukan sahaja jejak kebumi sambil bersila....tetapi...

" Pakai selipar??" bisik hatiku kehairanan..

"Kenapa abang awak lari meninggalkan awak?" "Puntianak" itu bertanya kepadaku dengan tenungan yang tidak berkerlip sambil tangannya mengusap rambutnya yang mengerbang berselerakan.

Aku hanya mendiamkan diri. Masih terpaku melihat "puntianak" itu. Kemudian dia bangun dan menghulurkan tangannya kepadaku. Aku membalas huluran tangannya untuk menarikku supaya dapat berdiri kembali. "Puntianak" itu memusingkan badannya untuk berlalu pergi.

"Siapa awak?" Aku memberanikan diri sekali lagi untuk bertanya.

Puntianak itu berhenti melangkah. Aku bersiap sedia untuk lari jika dia datang menerkam.

"Mardiana..." Jawabnya lagi sambil mengilai dan berlari pergi menyusup di celahan pohon-pohon senuduk.

Aku terkebil-kebil sambil memerhatikan Mardiana sayup-sayup hilang dari pandangan. Ingatanku ligat memikirkan siapa Mardiana sebenarnya. Manusia kah? Jin kah? Bunian kah? Orang gila kah? Atau perempuan yang melambaiku di Kampung Pohon Ketapang? atau dan atau dan atau? Tiba-tiba aku dikejutkan dengan kehadiran Poksu dan Along.

"Mana hantu tadi ucu?" Tanya Along.

"Hantu apa?" Soalku semula. Rasa seakan aku nak luku aje kepala Along kerana meninggalkan aku tadi.

"Apa yang berlaku sebenarnya?" Tanya Poksu kepadaku.

Aku menceritakan apa yang berlaku diantara aku dengan Mardiana. Poksu mendengar tengan penuh taat. Seperti biasa mulutnya melopong. Along meninjau-ninjau kepala melihat sekeliling jika terdapat kelibat Mardiana sekali lagi.

"OOooo... kalau Mardiana, Poksu kenal la tu..." Jelas Poksu membuatkan aku dan Along pula melopong.

"Dia satu kelas dengan Poksu masa tingkatan tiga dulu.. Anak... siapa tu.... ha, Pokda Berahim.." Kata Poksu lagi sambil menggarukan kepala cuba mengingatkan kembali nostalgia lama...

"Mardiana tu belajar sampai tingkatan tiga aje.. Lepas LCE terus berhenti.. Dengar cerita dia ada penyakit mental... tapi adakalanya dia macam biasa je... Mardiana tu cantik tu..." Poksu mula menceceh sehingga tak sedar tiga ekor nyamuk tengah kembung menghisap darah di pipinya.

" Kita balik dulu, petang karang kita tengok jerat..." Poksu mengakhiri kata-katanya.

Sebaik sahaja kami sampai kerumah, makanan tengahhari telah terhidang. Lauknya amat istimewa. Ikan duri masak asam pedas, pucuk buas masak lemak dan ikan puyu masin dibakar. Apabila kami hendak duduk, kami terpaku sebentar kerana ada tetamu. Seorang perempuan cantik. Mata kami hampir terkeluar apabila memandang perempuan cantik itu. Terutama sekali mata Poksu yang bukan sahaja terbeliak luas, malah mulutnya juga terlopong sama.

"Poksu kenal tak? Tanya Uda cepat sebelum mata Poksu benar-benar terkeluar.

"mmm... Mardiana"  Uda menambah apabila melihat Poksu diam.

"Tadi dia datang sini... dia kata dia tahu Poksu balik...tu yang dia datang kemari.. kesian... tak terurus, Uda dah mandikan dan gantikan pakaiannya... " Jelas Uda lagi sambil menyeduk nasi bercampur ubi di pinggan Mardiana.

Aku lihat Poksu masih terpaku menatap kecantikan wajah Mardiana. Aku rasa Poksu dah sampai ke India. Khayal dengan filem Hindustan. Tentu Poksu sedang mengejar Mardiana di atas bukit-bukau ataupun di taman bunga. Tetapi aku tak dapat menafikan, memang Mardiana seorang gadis yang cantik rupawan. Manakala Along hanya menyeringai menampakkan gigi taringnya kepada Mardiana.
Mardiana tunduk tersipu ( rasanya masa ini dia berkeadaan normal, kalau tidak sudah tentu dia tengah mengepak berlari sambil mengilai sekeliling kampong)

"Ehemmm" Nenek berdehem memberi isyarat kepada Poksu supaya balik semula ke Malaysia.

Poksu pun terus menyuap nasi kemulut dengan muka merah padam ( menahan malu ). Manakala Mardiana masih tersenyum sambil matanya tajam merenung wajah Poksu dengan penuh makna... Siaplah kau Poksu...
 
Mardiana (gambar hiasan)
 
 
"Poksu" dan "Mardiana"  di taman bunga.... (gambar hiasan)
 
 
ke Bukit- Bukau pulak dah.... (gambar hiasan)
 




 

Sunday, 17 August 2014

Episod 12 - Siapakah suara misteri itu ?

Pagi itu datuk awal-awal lagi telah pergi menjala udang di Sungai Benut. Dia tidak mengajakku kerana mungkin dia rasa yang aku akan mengikut Along dan Poksu  kemana-mana hari itu. Memang betul telahan datuk. Selepas sarapan lempeng bersama sambal tumis yang dimasak Kak Uda, Along dan Poksu mengajakku menangkap ayam hutan di kebun belakang rumah datuk.
 
Lempeng sambal tumis - Meleleh air liurrrrr
 
Kebun di belakang rumah datuk seluas enam ekar itu ditanam dengan pokok-pokok kelapa, rambutan, duku dan sedikit manggis. Menuju kebelakang kebun itu, kami terpaksa mengharungi semak samun dan kayu-kayu hutan. Datuk tidak larat untuk membersihkan kebun seluas itu sendirian. Oleh itu, semasa meredah kebun yang bersemak itu, terpaksalah Poksu dan Along menebas laluan bagi memudahkan perjalanan kami.
 
Setibanya kami di anak sungai ( parit sempadan sebenarnya ), kami berhenti apabila terdengar kokokkan ayam hutan bersahutan.
 
" Long, kau pasang jerat dekat tepi tunggul kelapa tu... buat tiga jerat selang lima depa.." Poksu memberi arahan kepada Along.
 
Aku mengikut Along manakala Poksu pergi kearah bertententang kami.
 
"Nanti kita datang semula kesini.." Jerit Poksu perlahan.
 
Kami sampai ditunggul kelapa. Along membersihkan sedikit kawasan tersebut, sementara itu aku memotong kayu-kayu hutan disekitar kawasan itu untuk membuat peralatan jerat. Kemudian Along memilih anak pokok kayu hutan yang berhampiran untuk membuat batang jerat. Ditariknya dahan pokok kayu itu hingga melentur. Kemudian Along memasang pelantik. Dengan tali nylon kecil, dibuatnya jerat  lalu dipasang pada laluan ayam hutan. Aku memerhatikan sahaja macam mandur pencen. Along menguji jerat ayam hutan. Di letakkan kayu pendek pada pelantik. Secepat kilat tali nylon menyambar kayu pendek tersebut. Aku melopong terkagum dengan kepakaran Along.

"Cepat.. ambil daun kering.. tutup pelantik.. " Along memberi arahan kepadaku.

Aku mengikut arahan Along. Selepas itu kami memasang perangkap kedua, ketiga dan keempat selang lima depa. Setelah selesai memasang jerat, kami pergi semula tempat yang awal tadi untuk menunggu Poksu, tetapi Poksu masih belum kelihatan.
 
Jerat ayam hutan tanpa denak
 

Matahari sudah mula menampakkan sinarannya dibawah celahan daun kayu hutan, namun Poksu masih belum kelihatan juga. Along mengeluarkan bekalan air yang dibawanya. Dia menuangkan air di penutup minuman dan diberikan kepada aku. Aku mengambil air sambil melihat wajahnya. Ada kerisauan diwajah Along. Mungkin dia risau menunggu Poksu yang masih tidak kelihatan atau dia takut tinggal berdua dengan ku di kebun yang teramat sunyi itu.

Tiba-tiba kami terdengar bunyi seolah-olah ranting dipijak sesuatu. Secara spontan kami menoleh kebelakang. Apa yang kami nampak ialah ada bayangan seseorang di balik pokok manggis sedang mengendap kami.

"Buat apa tu bang....." Terdengar suara manja seorang perempuan di sebalik pokok manggis.

Suara itu persis sama dengan suara perempuan yang memanggil kami senja semalam. Aku memandang Along. Aku lihat tangan dan kaki Along menggigil. Aku seakan mahu melompat naik kebadan Along. Perempuan tadi keluar dari belakang pokok manggis. Rambutnya yang kusut mengerbang panjang, berbaju putih dicemari tanah berlari menuju kearah kami sambil ketawa mengilai panjang. Kedua belah tangannya seakan mengepak-mengepak. Kali ini aku betul-betul melompat menerkam kearah Along yang aku rasa telah bersedia hendak membuat larian pecut dua ratus meter. Akhirnya kami berdua jatuh tergolek macam nangka busuk. Kami pasrah, dan perempuan hodoh itu telah hampir benar hendak menerkam kami. Aku memejamkan mata menanti kuku dan taring perempuan itu menghisap darah dileherku..... Datuk......tolong ucu......aku menjerit tanpa suara.....

Thursday, 14 August 2014

Episod 11 - Suara perempuan memanggil

Ke esokkan harinya, setelah solat Asar, Poksu dan Along mengajakku ke pekan Benut. Poksu hendak membeli bateri kering cap badak untuk pemain piring hitamnya. Maklumlah, bateri pemain piring hitamnya sudah kehabisan tenaga kerana sehari suntuk "dikerjakan" kami adik beradik. Dengan menaiki basikal kargo datuk, kami bertiga ke pekan Benut. Poksu mengayuh basikal, Along duduk dibelakang dan aku duduk diatas palang hadapan. Sesekali terasa semacam seekor beruk pula...
 
Perjalanan ke pekan Benut mengambil masa hampir setengah jam. Kalau datuk yang bawa basikal, rasanya mengambil masa satu jam. Kami singgah kedai di simpang empat. Sebuah kedai runcit India Muslim ( Syarikat M.M. Jelani Syarif ), namun bateri tiada. Maka kami pergi ke Tanjung ( pekan Benut yang sebenarnya ) yang jaraknya setengah batu dari simpang empat. Poksu ke kedai gambar (Kedai Chong Lor ). Kali ini kami bernasib baik. Bateri kering ada dijual. Poksu membeli empat biji bateri kering yang mana harganya tiga puluh sen sebiji. Poksu merungut dan menyatakan harganya mahal. Kalau di Singapura harganya dua puluh sen sebiji.
 
Sesudah itu Poksu ke Kedai Makan Mohamed. Kami makan rojak mamak ( rojak asma melayu ) dan air batu cendol Maidin. Aku yang memang teramat jarang dapat peluang makan selazat itu, makan dengan penuh taat. Setelah selesai makan, Poksu memesan rojak mamak untuk dibungkus ( untuk orang di rumah ). Kemudian kami pergi ke jeti kayu di Tanjung untuk melihat orang memancing. Di situ kami mendengar cerita dari salah seorang masyarakat Asli disitu, terdapat seorang pawang buaya yang handal dikalangan mereka yang dikatakan telah berjaya menangkap seekor buaya tembaga di Sungai Benut. Dikatakan Pawang tersebut telah menyelam tiga hari tiga malam dan timbul hari keempat bersama buaya tembaga yang telah pun terikat seluruh badan. Poksu mendengar cerita tersebut sehingga mulutnya terlopong luas. Rasanya kalau ada lalat, mahu masuk sepuluh ekor. Manakala Along hanya tersengeh hingga menampakkan gigi taringnya yang hampir nak terkeluar. Aku? Biasalah... hero yang penakut... diam.
Jalan ke Pekan Benut (macam musim bunga di Eropah)
 
Musim bunga berguguran di Benut
 
 
Sekolah pertama aku (1972) - Gambar 2014. Dulu takder pagar ni. Sekolah pun dari papan kayu.
 
 
Sekolah menengah aku tahun 70an
 
Agak lewat petang kami pulang kerumah. Dalam perjalanan hari sudah menjelang senja. Waktu ni kata datuk, iblis dan syaitan tengah suka menyakat. Nasib baik aku duduk di palang basikal. Bila dah dudukdihadapan ni, tak lah rasa takut. Cuma aku tengok Along asyik pandang belakang aje... ( kalau mengikut pesanan orang-orang tua , kalau jalan malam JANGAN PANDANG BELAKANG ). Setibanya simpang masuk kekampungku, kami melintas sebuah kebun kelapa terbiar. Waktu itu suasana agak gelap. Tiba-tiba terdengar suara perempuan menegur kami...
 
" dari mana tu bang ?..." Kedengaran suara perempuan itu disebalik rimbunan pohon senuduk yang tumbuh meliar di kebun terbiar sebelah kanan kami.
 
Aku tidak menoleh. Tak tahu lah Poksu dan Along menoleh atau tidak. Apa yang aku rasakan pergerakan basikal menjadi perlahan. Suara Poksu tercungap-cungap mengayuh seakan membawa bebanan yang cukup berat.
 
"Bang... tunggu lah dulu..." Suara perempuan itu seakan merayu.
 
Bunyi nya seakan dia mengekori kami. Tak tahu samada dia di atas kami atau di belakang kami. Apa yang aku tahu waktu itu aku hampir terkencing. Mengapalah keadaan ini selalu berlaku kepada aku. Mungkin dugaan kepada manusia penakut.
 
"Bang...." Kedengaran suara perempuan itu sayup jauh kebelakang.
 
Kayuhan Poksu semakin laju dan laju sehingga menghampiri rumah datuk. Sebelum Poksu betul-betul berhenti, aku dah terjun meluru ke anjung rumah. Aku melihat Along telah terlebih dahulu berada di anjung rumah datuk. Dia pun dua kali lima dengan aku. Penakut.
 
Apabila kami masuk kerumah, Datuk, nenek dan kakak-kakakku sedang solat Maghrib berjemaah. Cuma Tam yang tak boleh solat. Dialah yang membuka pintu rumah tadi. Dengan tidak membuang masa, kami mengambil wuduk dan masuk berjemaah sekali. Setelah selesai solat, aku tidak mandi keperigi kerana masih takut. Begitu juga dengan Poksu dan Along. Malam itu, kami makan malam bersama rojak mamak yang dibeli Poksu petang tadi.
 

Siapakah perempuan misteri ini?


 
 

Tuesday, 12 August 2014

Episod 10 - Jalan dipenuhi darah

"ALLAHU AKBAR !!!"  Tiba- tiba aku terdengar suara datuk berteriak dengan lantang. Aku masih lagi memejamkan mata sambil tanganku tidak lepas memeluk badan datuk. Bunyi ribut masih dapatku dengar, tapi rasa benda yang mencuit-cuit belakangku sudah tidak ada lagi.  Kemudian bunyi ribut tadi perlahan-lahan tidak kedengaran lagi. Aku masih lagi tidak berani membuka mata. Tangan ini masih erat memeluk belakang datuk.
 
"Sudah.. benda tu dah pergi..." Kata datuk yang masih lagi tenang mengayuh basikal.
 
Aku membuka mata perlahan-lahan. Keadaan sekeliling masih gelap, cuma dihadapan cahaya suram lampu basikal datuk menerangi jalan yang berbelok-belok. Aku memberanikan diri menoleh ke belakang. Gelap. Tiada benda tadi yang mengikuri. Tiada kunang-kunang. Hatiku merasa sedikit tenang. Kami sampai di simpang Parit Rambai ( kawasan Tanah wakaf perkuburan ), menandakan sudah hampir ke rumah. Rasa-rasanya sudah jam sebelas malam. Datuk masih lagi membaca ayat-ayat suci Al Quran. Aku turut membaca sama surah mana yang aku hafal.
 
Pemandangan indah kawasan kubur diwaktu malam
 
Akhirnya kami selamat sampai dirumah. Hatiku merasa lega. Datuk mengarahkan aku mandi sebelum tidur. Kakak-kakakku seperti biasa bagai "murai tercabut ekor" sibuk menanya kepada datuk kenapa balik lewat. Datuk menyuruh mereka bertanya kepada aku. Dan dengan selambanya aku menjawab,
 
"Singgah rumah Perdana Menteri" lantas aku terus masuk kedalam kelambu. Namun Uda sempat memulas telinga kiriku.
 
Keesokkan harinya heboh satu kampong bercerita tentang tedapat kesan tompokan darah sepanjang jalan dari persimpangan Parit Rambai hingga jalan menuju ke surau ( jalan yang aku dan datuk lalui malam tadi). Orang - orang kampong mengatakan bahawa hantu penanggal telah melalui jalan itu. Ini ditambah dengan cerita terdapat beberapa orang saksi yang terserempak dengan hantu penanggal malam tadi.
 
Salah seorang daripadanya Mahat Badok, seorang pemuda Alif Ba Ta (Angkatan Bujang Tua). Satu kampong di jaja cerita tentang pengalamannya di kejar Hantu Penanggal. Menurut cerita Mahat Badok, malam tadi lebih kurang jam sembilan setengah malam, dia hendak ke tandas. Biasa lah, dulu-dulu tandas rumah kampong terletak di luar. Sesudah melepaskan "hajat besar" , tiba-tiba Mahat Badok terserempak dengan kepala terapung dengan usus perut terjuntai di depan pintu rumahnya. Apa lagi, Mahat Badok pun bertempiaran lari satu kampong sambil Hantu Penanggal mengejarnya dari belakang.
 
Di pendekkan cerita, Mahat Badok mendapat satu akal. Maka dia lari menuju ke reban ayam Kak Semah Janda. Hantu Penanggal yang mengejarnya tidak berani mendekati reban ayam kerana ditakuti ayam-ayam akan mematuk perutnya yang terjuntai. Maka Hantu Penanggal itu pun berlalu pergi. Kata-kata Mahat Badok disokong oleh Kak Semah Janda, kerana malam itu dia ternampak Mahat Badok direban ayamnya. Kak Semah Janda terdengar bunyi ayam bising-bising, lalu dia keluar rumah dan didapati Mahat Badok tercongok direban ayam.
 
Entahlah. Bukan aku sahaja yang pening. Orang-orang kampong lagi pening. Ini adalah kerana Mahat Badok dan Kak Semah Janda memang ada skandal yang nak ditutupnya. Manakala peristiwa yang aku dan datuk alami malam tadi, tidak kami hebohkan. Itu telah menjadi rahsia antara kami. (Sebulan sesudah itu barulah kami difahamkan bahawa tompokan darah disepanjang jalan itu adalah darah seekor anjing yang telah ditetak oleh Abon (peraih getah kampong kami). Ini adalah kerana anjing tersebut telah membaham ayam peliharaannya. Itu pun cerita sebenar ini diketahui setelah Mahat Badok dan Kak Semah Janda telah berkahwin selepas ditangkap basah oleh orang-orang kampong).
 
Petang itu kami dikejutkan dengan kedatangan pakcikku, Poksu, (anak lelaki bungsu datuk) dan Along (abang ku yang sulung) ke rumah datuk. Mereka berdua belum berkahwin dan tinggal bersama kedua ibubapaku di Singapura. Kedua-dua mereka bekerja sebagai buruh binaan ( atau dulu dikenali dengan nama kerja kontrak ) di sana. Mereka akan balik kampong dua atau tiga bulan sekali membawa kiriman sedikit wang dari bapaku kepada datuk untuk perbelanjaan harian menanggung kami adik beradik. Biasanya Poksu dan Along akan duduk di kampong dua atau tiha hari. Kedatangan mereka mengembirakan kami kerana dapatlah kami merasa buah-buahan seperti epal, limau dan buah lai yang tidak ada dikampung. Apa yang lebih mengembirakan kami ialah Poksu telah membawa pemain piring hitam yang baru dibelinya di Singapura. Pemain piring hitam ini menggunakan bateri kering cap badak. Antara piring hitam yang dibawa ialah A.Ramli, Jefreydin, J.Kamisah dan lain-lain. Kami, adik beradik duduk mengelilingi pemain piring hitam sambil asyik menghayati lagu-lagu tersebut.
 
Pemain piring hitam
 
 
Piring hitam
 




Friday, 8 August 2014

Episod 9 - Perjalanan pulang yang di ganggu

Setelah solat Isyak, lampu pam surau dimatikan. Surau hanya diterangi oleh cahaya andang api di halaman. Jemaah surau (orang-orang kampong) berkumpul menunggu taklimat dari Pak Imam yang juga merangkap Ketua Kampung ( Tok Ayub ).
 
" Kita mula dari darat, lima belas orang ikut Pak Long Deraman.. manakala bakinya ikut saya, kita ke laut " Pak Imam memberi arahan bagaikan Sarjan Mejar pencen.
 
"mmm weh... kau nak ikut tak?" Tanya Pak Imam kepada datuk. Aku berharap datuk berkata tidak.
 
" Kita tak boleh lah Pak Imam, esok pagi cadang nak ke Permatang Duku... " Jawab datuk. Lega rasa hati ini.
 
" Baiklah, kita bergerak sekarang... Ambil andang satu kumpulan satu.." Pak Imam berkata sambil mula bergerak ke kanan. Manakala kumpulan yang mengikut Pak Long Deraman bergerak kekiri.
 
"Allahu Akbar!! " Orang-orang kampong bertakbir, penuh bersemangat.
 
Aku dan datuk menuju ke basikal. Kami mula bergerak pulang menyusuri jalan kecil yang gelap gelita sambil dibantu cahaya lampu basikal yang suram. Pada mulanya aku ingin mencadangkan biar aku yang bawa basikal, tapi cadangan itu tidak terkeluar dari mulut ini. Sudahnya sepanjang jalan aku duduk dibelakang datuk dengan kepalaku yang sentiasa tertoleh-toleh kebelakang...
 
Perjalanan pulang kerumah, datuk mengayuh agak laju sedikit. Mungkin datuk tak mahu terserempak dengan hantu penanggal agaknya. Di kiri kananku penuh dengan semak samun. Sesekali ternampak cahaya api rumah orang-orang kampong yang jaraknya jauh antara satu sama lain. Adakalanya cahaya bulan yang menyinari membantu perjalanan kami, itupun jika ia tidak dilitupi rimbunan pohon-pohon getah. Di satu persimpangan aku lihat dari jauh cahaya yang amat terang di celah rimbunan pohon-pohon . Seolah-olah ada cahaya elektik . Seolah-olah ada pesta. Mana ada elektrik waktu itu dikampung aku? Semakin kami menghampiri, semakin seram aku jadinya. Bulu tengkukku tegak berdiri. Tapi, aku lihat datuk mengayuh tenang dan memperlahankan basikalnya. Apabila sampai ditempat yang terang itu, datuk berhenti.
 
"Ah.. sudah.." bisik hatiku.
 
"Kau lihat tu.. Betapa hebatnya serangga yang mengeluarkan cahaya.. Kau tahu apa tu?" Datuk bertanya. Aku hanya diam terpaku dan mulut terngaga melihat cahaya terang dihadapan kami.
 
"Kunang-kunang" Terang datuk kepadaku.
 
Kunang-kunang atau kelip-kelip adalah serangga yang mengeluarkan cahaya (Sekarang amat sukar untuk menjumpai serangga tersebut). Kunang-kunang tersebut berkumpul mengikut kumpulan. Ada yang berkumpul dan ada yang bergerak secara berkumpulan. Kalau di hitung, tak terhitung banyaknya ... mungkin lebih dari seribu. Kemudian datuk mengayuh kembali. Aku memerhati kunang-kunang sehingga kepalaku senget kebelakang. Tapi kali ini aku bukan sahaja nampak kunang-kunang, tetapi "benda tergantung" di udara sedang mengekori kami.... Semakin lama semakin laju ia menghampiri.
 

 Kunang-kunang menerangi jalan
 
 Benda tergantung itu terbang lebih kurang sepuluh kaki dari aras bumi. Adakalanya ia terbang tinggi, adakalanya rendah. Aku nampak benda terbang itu agak jelas kerana dibelakangnya ialah kunang-kunang yang ku lihat tadi. Apabila ia hampir  seratus meter dibelakangku, aku lantas memberitahu datuk sambil memeluk pinggang datuk dalam keadaan yang amat takut.
 
" Datuk... belakang ada benda terbang mengikut kita...." kataku dengan suara menggigil.
 
Datuk seakan tidak mendengar kata-kataku, terus mengayuh basikal dengan tenang sambil aku mendengar dia membaca surah-surah Al-Quran. Aku memejamkan mata dan memeluk datuk sekuat hati. Dikala itu juga aku mendengar bunyi seakan desiran  angin rebut dibelakangku, semakin lama semakin dekat. Aku pasrah... apa nak jadi, jadilah... sambil diri bertawakal kepada Allah... dan lebih menakutkan lagi, ada sesuatu yang mencuit belakangku....
 
Ribut melanda
 
"Benda Tergantung" yang menyakitkan hati
 




Thursday, 7 August 2014

Episod 8 - Musim hantu penanggal

Hampir dua minggu aku menghabiskan musim cuti sekolah penggal ketiga dengan mengikuti datuk menjala udang galah di Sungai Benut. Hasil tangkapan itu datuk akan menjualnya di pasar Benut. Waktu itu harga udang galah tidaklah semahal sekarang. Sekali tangkapan dapatlah pendapatan lebih kurang tiga ringgit. Dapatkan kami membeli beras, gula dan barang keperluan dapur yang lain. Menangkap udang mengikut musimnya. Selalunya datuk menjala selepas hujan terutamanya waktu air pasang. Datuk akan menabur sedikit beras, kemudian jala akan di tebarkannya. Sekali tebar, adakalanya dapat seekor, dua, tiga, empat ekor,  adakalanya tiada dan adakalanya dapat ikan duri ( yang akan merosakkan benang jala ).
 

 Datuk selalu menjala sewaktu air pasang (gambar hiasan)
 
 Pada kebiasaannya datuk menjala di waktu pagi dan pulang sebelum matahari tegak dilangit. Anggaranku sebelum sebelas pagi. Kadang-kadang aku hanya menunggu di tebing ( tempat pondok rehat ) sambil mencari paku pakis yang tubuh meliar disepanjang tebing sungai. Selalunya jika memetik paku pakis, aku bersama kakak-kakakku. Pucuk paku pakis yang berwarna hijau biasanya dimasak lemak dan jika pucuk paku pakis merah dimasak asam rebus. Sungguh enak rasanya.

Selepas solat Maghrib berjemaah di rumah, biasanya datuk akan mengajak aku kesurau untuk solat Isyak. Kami akan berbasikal kesurau yang terletak hampir satu batu dari rumah. Dengan lampu basikal kargo yang hampir malap itu, datuk dan aku menyusuri malam yang semakin gelap. Kalau berbasikal dengan datuk diwaktu malam, aku akan duduk dibelakang seperti kebanyakan orang. Aku tak berani membelakangkan datuk sebagaimana kegemaranku. Aku tak sanggup menghadap kebelakang kerana pandangannya cukup gelap dan menakutkan.

Kami sampai di surau apabila "kentung" dibunyikan, menandakan masuk waktu Isyak. Dihalaman surau terdapat dua andang api yang menerangi kawasan surau. Di dalam surau pula terdapat dua lampu pam sedang menyala terang benderang. Setelah azan Isyak dilaungkan, Jemaah surau melakukan solat sunat.
 
kentung
 
 


Surau lama
 
 
Obor / Andang Api
 
Lampu Pam / Gasolin
 
Sementara menunggu bilal iqamah, Pak Long Deraman yang duduk bersebelahan dengan datuk berbisik sesuatu ke telinga datuk. Aku yang kebetulan duduk dibelakang datuk turut memasang telinga.
 
" Tak dengar cerita weh?" Bisik Pak Long Deraman.
 
" Cerita apa ?? Tanya datuk perlahan.
 
" Hantu Penanggal mengamuk kat kampung seberang " Jelas Pak Long Deraman lagi.
 
" Hantu Penanggal???" Tanya datuk sedikit terperanjat.
 
" Lepas Maghrib tadi, kita dah berpakat nak meronda kat darat malam ni..." Sambung Pak Long Deraman sambil bangun setelah mendengar iqamah dari bilal.
 
" Kalau weh nak meramaikan lagi, boleh le ikut malam ni.." kata Pak Long Deraman sambil menuju beriringan dengan datuk ke saf hadapan.
 
Semasa solat Isyak, seperti biasa aku di saf paling belakang. Jumlah Jemaah adalah lebih kurang tiga puluh orang dan membentuk empat saf. Mamandangkan aku di saf paling belakang, mataku melilau kekiri dan kekanan. Sesekali menjeling ke tingkap surau. Manalah tahu ada kepala hantu penanggal mengendap kami solat. Ada kalanya aku memikirkan yang aku akan pulang kerumah lepas solat Isyak, dan menempuh kegelapan malam dengan duduk dibelakang datuk. Manakala datuk mengayuh basikal dengan kelajuan yang meletihkan. Buat nya ada hantu penanggal mengekori kami dari belakang. Dah lah aku ni penakut. Tiba-tiba aku mendapat buah fikiran,
 
" Apa kata balik nanti biar aku yang bawa basikal dan datuk duduk dibelakang?"
 
" Tapi.... percayakah datuk???" bisik hati ku...
 
"Assalamu'alaikum warah matullah " tiba-tiba Imam memberi salam penamat solat Isyak.
 
Dan hatiku bertambah cemas...
 
Gambaran Hantu Penanggal yang kureng menakutkan...







Wednesday, 6 August 2014

Episod 7 - Senja yang menyeramkan
 
Setelah selesai menikmati makan tengah hari, aku, datuk dan Tok Anjang pergi ke surau yang terletak tidak jauh dari rumah Tok Anjang. Kami solat Zohor bersama orang-orang kampung. Rasanya cuma aku jemaah yang paling muda. Dan oleh kerana aku belum "masuk jawi", aku berada di saff paling belakang. Setelah selesai solat, Tok Anjang bersembang dengan rakan-rakannya. Tok Anjang memperkenalkan datuk dan aku kepada orang-orang kampung. Begitulah damai dan mesranya masyarakat dahulu. Dikesempatan itu, aku mengambil peluang baring di surau kayu yang berlantaikan batang pinang. Akhirnya aku terlelap. Dalam terlelap itu, masih sempat aku bermimpi ibuku. Sebenarnya aku rindu sangat dengan ibu dan abah yang berada jauh di Singapura. Harap-harap mereka akan balik kampung cuti sekolah ini. Aku di kejutkan datuk bila bilal sedang qamat solat Asar. Aku bergegas mengambil wudhu dan sekali lagi berdiri di saff belakang untuk solat Asar.

Tiba masanya untuk pulang kerumah. Tok Anjang membekalkan aku buah manggis untuk dimakan dalam perjalanan, manakala untuk nenek dan kakak-kakak, datuk letakkan guni berisi manggis diatas palang hadapan basikal. Setelah bersalaman dengan Tok Anjang, kami bergerak pulang. Seperti biasa aku duduk dibelakang dan membelakangkan datuk. Aku lambai Tok Anjang. Tok Anjang membalas lambaianku sambil mengelengkan kepalanya.

Dalam perjalanan pulang terasa amat lambat. Mungkin disebabkan muatan manggis menganggu kayuhan datuk, Kami memasuki kebun-kebun getah. Suasana agak redup dan gelap. Tiba-tiba datuk memberhentikan kayuhan basikal.
 
"Kenapa tuk?" Aku bertanya sambil menoleh kedepan.
 
"Tu...." Datuk memuncungkan bibir menunjukkan sesuatu.
 
Aku lihat dahan pohon getah telah jatuh menghalang perjalanan kami. Aku turun dari basikal. Datuk menongkatkan basikalnya ketepi. Kami menuju ke dahan yang patah itu untuk mengalihkannya. Belum pun sempat kami mengangkat dahan tersebut, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi ayam jantan berkokok di celahan semak dibelakang datuk.
 
 
Ayam jantan
 
Aku memandang datuk. Perasaan cemas mula menghantui diri ini. Datuk terus mengalihkan dahan yang jatuh tadi tanpa menghiraukan kehadiran bunyi ayam jantan itu. Kokokan ayam jantan  berterusan. Datuk memandangku seraya berkata,
 
" Pelikkan, dah senja begini ayam tak balik reban? Ayam kampung pulak tu..."
 
"Pedulikan ayam tu... meh kita balik " Datuk memberi arahan seraya menuju ke basikal.
 
Kami meneruskan perjalanan, tetapi kali ini aku duduk dibelakang datuk dengan mengadap kehadapan (dengan cara yang betul). Kali ini aku tak kisah kalau di "bom" datuk. Sebenarnya aku ni seorang yang penakut. Sepanjang perjalanan melalui kebun getah itu, aku sentiasa memandang kebelakang. Manalah tahu ada yang mengikut. Sesekali tu, terdengar juga bunyi tapak kaki orang memijak daun kering. Aku seakan mahu menggantikan datuk yang mengayuh basikalnya dengan kelajuan yang amat perlahan.
 


Kebun getah yang menghijau diluar tapi gelap didalam

 
Lewat senja baru kami melepasi kebun-kebun getah yang gelap itu. Hatiku merasa lega. Kalau lah di upah seratus ringgit pun, tak ingin aku melaluinya diwaktu begini seorang diri. Mujur juga perjalanan kami hari ini tiada halangan yang besar. Aku cukup takut kalau basikal kargo datuk pancit didalam kebun getah tadi. Akhirnya kami sampai juga ke rumah disambut oleh kakak-kakakku yang terkenal dengan becoknya menanyakan kenapa lambat pulang rumah. Datuk yang memang suka melawak hanya menjawab,
 
" Singgah rumah Perdana Menteri"
 
Dan kakak-kakakku pun tidak bertanya lagi....
Episod 6 - Tok Anjang
 
Dalam perjalanan ke Parit Pinang, aku menyanyi keriangan. Duduk di "kariar " basikal belakang datuk dengan duduk terbalik, cukup menyeronokkan. Memang menjadi kebiasaanku duduk membelakangi datuk. Sebagai langkah keselamatan manalah tahu di"bom" datuk pada bila-bila masa. Sambil menyanyi lagu-lagu A.Ramli aku mengunyah tebu yang dibekalkan nenek ( Aku berpeluang mendengar lagu-lagu A.Ramli, Jefreydin, P.Ramli bila berkunjung kerumah kawan-kawanku di pekan Benut waktu balik dari sekolah. Ada diantara mereka adalah anak-anak guru sekolah dan mampu memiliki pemain piring hitam. Antara lagu kegemaranku waktu itu ialah Anak Tani dendangan A.Ramli. Kalau hari raya, semestinya lagu Dendang Perantau sentiasa bermain dibibir ). Datuk mengayuh perlahan basikal kargonya yang walaupun sudah tua, namun masih kuat menyumbang bakti.

Sesekali dalam perjalanan, datuk mengelak lopak-lopak disepanjang jalan. Menuju ke rumah Tok Anjang, kami harus menyusuri jalan tanah merah dan adakalanya melalui jalan yang berselut. Disebelah kiri kami, terdapat parit kecil yang jernih airnya. Seronok apabila melihat anak-anak ikan puyu berkeliaran didalam air. Sesekali datuk memberhentikan basikalnya untuk membuang selut yang melekat dicelah tayar. Sementara datuk berhenti, aku mengambil kesempatan mengutip biji-biji getah yang terdapat dikawasan itu.
 

 
Biji-biji getah permainanku semasa kecil

 
Dalam perjalanan yang mengambil masa yang agak lama itu, adakalanya kami berselisih dengan orang-orang kampung dari kampung sebelah. Ada yang menaiki basikal dan ada yang berjalan kaki. Kami harus melalui Kampung Lama dan Parit Rambai  untuk sampai kerumah Tok Anjang. Setelah berbasikal hampir dua jam, barulah kami sampai.

Waktu kami sampai, Tok Anjang sedang mengait buah manggis di pohon yang tertanam di keliling rumahnya. Rumahnya rumah atas seperti rumah datuk. Tuk Anjang tersenyum  memandang kami.

"Assalamu alaikum" Datuk memberi salam.

"Wa'alaikum salam...." Jawab Tuk Anjang.

"Wah.... besar dah cucu kau ni weh..." Sapa Tuk Anjang lagi sambil bersalaman dengan datuk.

Aku turut bersalam dengan Tuk Anjang sambil mencium tangannya. Tuk Anjang memimpin tanganku menuju ke anjung rumahnya, Manakala datuk menyorong basikal menuju kebawah rumah kemudian menurunkan kelapa yang dibawanya.

Tuk Anjang yang berbaju "Pagoda" putih, berseluar panjang hitam aku lihat masih kuat dan sihat. Umurnya aku agak dalam lingkungan tujuh puluh tahun. Orangnya sentiasa tersenyum. Menurut datuk, Tok Anjang adalah satu-satu adik beradiknya yang tinggal. Dia merupakan abang kepada datuk. Isteri Tok Anjang sudah lama meninggal dunia. Tok Anjang tinggal bersama anak perempuannya, Kak Salmi. Kak Salmi masih belum berumah tangga. Umurnya lebih kurang tiga puluh lima tahun. Entah kenapa dia masih membujang, aku pun tak tahu. Mungkin jodohnya belum sampai lagi. Aku meneka. Waktu itu Kak Salmi tiada dirumah. Kata Tok Anjang dia ke darat menghantar baju yang ditempah kawannya.
 
"Makan tengahari disini ye weh?" Tok Anjang berkata kepada datuk apabila melihat datuk duduk di anjung. Datuk mengangguk sambil mengeluarkan rokok daun.
 
"Tadi tu... si Salmi dah masak, sebelum ke darat.." tambah Tok Anjang.
 
" Salmi tu, belum terbuka hati lagi ke Anjang?" Tanya datuk sambil menyalakan api ke rokok daunnya menggunakan mancis batu.
 
" Belum... ntahlah... dah ramai yang nanya, semua ditolaknya..." keluh Tok Anjang.
 
" Ha.. kau tunggu apa lagi Ucu, pergi ler siapkan makan tengah hari..." Tok Anjang memberi arahan kepadaku.
 
Tengah hari itu kami makan masakan yang dimasak olek Kak Salmi. Pucuk ubi masak lemak, ikan puyu goreng, sambal tumbuk cili padi bersama nasi yang dicampur bersama ubi. Berselera sugguh aku makan, maklum ler... tengah lapau...
 
 






YUMMY!!!
Episod 5 - Kelambu berbau harum
 
Aku terpaku melihat susuk tubuh wanita di depanku. Rasa nak terbuang air kecil. Rasa dah nak terkucil. Aku hampir mahu menjerit sekuat hati.. Tiba-tiba wanita itu memelukku dengan kuat...
 
"Ucu....diammmm.......!!" bisik wanita itu sambil menutup mulutku...

"Ini Uda la...." bisiknya lagi...
 
Hatiku yang dilanda ketakutan tadi, reda sebentar... Perlahan-lahan Uda melepaskan tangannya daripada menekup mulutku.
 
"Sshhhh.... Ucu dengar bunyi cakar bawah lantai rumah...." bisik Uda lagi....
 
Aku hanya menganggukkan kepala. Tak mampu aku nak mengeluarkan suara. Kami diam seketika. Suasana sunyi sepi. Bunyi burung hantu turut tidak kedengaran.
 
"Uda dengar suara perempuan panggil Ucu.... Uda Nampak Ucu bangun tadi..." Bisik Uda lagi.
 
"Siapa tu Uda? " tanyaku perlahan..

"Ntah..." jawab Uda...
 
Suasana masih lagi sepi. Tiba-tiba didalam kelambuku berbau harum. Harum bunga tanjung. Uda memandangku. Aku tahu, dia dalam ketakutan seperti aku juga. Aku melihat datuk dan nenek masih lagi lena tidurnya. Begitu juga kakak-kakakku yang lain. Tiba-tiba aku teringat wajah perempuan cantik Kampung Pohon Ketapang. Adakah dia sedang mengekori ku sehingga kerumah? Bau harum beransur-ansur hilang. Sayup-sayup kedengaran kokokan ayam jantan sahut menyahut. Waktu sudah dinihari barangkali. Uda beralih semula ke tempatnya. Dan aku dengan cepatnya mengikut beralih sama. Tidur di tengah-tengah kakak-kakakku. Apa nak jadi, jadilah... Memang aku takut tidur dalam kelambu berseorangan. Apa yang pasti, keesokkan harinya kakak-kakakku yang lain meriah mengutukku kerana tidur sekelambu dengan mereka. Cuma Uda yang faham...
 
 


Kelambu

 
Sewaktu sarapan pagi, kebiasaannya air kopi bersama getuk ubi (ubi rebus ditumbuk bersama kelapa parut), datuk bertanya kepadaku adakah aku ingin mengikutinya pergi ke Parit Pinang. Semestinya aku tidak menolak. Tentu seronok naik basikal kargo bersama datuk. Duduk dibelakang sambil menyanyi.

"Bila nak pergi tuk?" Tanyaku tidak sabar.

"Sekejap lagi.." Jawab datuk.

"Ucu, jangan lupa bawakan Tok Anjang kau nyior tua..." Celah nenek kepada aku.

Tok Anjang merupakan abang kepada datuk. Umurnya lebih dua atau tiga tahun daripada datuk. Tok Anjang menetap di Kampung Parit Pinang lebih kurang empat batu dari rumah datuk. Selepas sarapan, aku bergegas menolong datuk mengikat kelapa (nyior) tua berpasang-pasangan dan mengantungkan kelapa tersebut pada palang basikal kargo. Kakak-kakakku merasa cemburu kerana aku selalu di ajak datuk kemana-mana.... Memanglah.... orang perempuan mana boleh naik membonceng basikal kargo, kalau naik jugak, kan huduh  nampak gayanya ....


 
Macam basikal datuk
Episod 4 - Perempuan cantik
 
Kami sampai ke hilir Sungai Benut agak petang. Aku turun ke tebing sungai terlebih dahulu untuk menambat perahu di jeti. Datuk dan aku memunggah daun nipah dan diletakkan dibahu jalan tanah merah. Ini bagi memudahkan untuk di jual kepada peraih. Datuk mengambil dua ikat daun nipah untuk dibawa pulang kerumah (untuk membuat atap bagi menggantikan atap dapur yang bocor). Sesudah itu kami membersihkan diri di jeti  kemudian solat Asar dipondok berhampiran (pondok tersebut di dirikan oleh orang-orang kampung untuk tujuan solat dan berehat). Sesudah solat Asar, kami pun pulang kerumah yang jauhnya lebih kurang satu batu dari Sungai Benut. Datuk memikul dua ikat daun nipah tersebut manakala aku membawa peralatan serta buah berembang.
 

 
 
Daun nipah yang telah dibuat atap
 
Semasa dalam perjalanan pulang aku sentiasa memikirkan Kampung Pohon Ketapang, wanita cantik, yang aku lihat pagi tadi. Apakah datuk nampak? Apakah datuk tidak nampak? Ataupun datuk buat-buat tidak nampak? Sesekali aku mendahului datuk dalam perjalanan pulang. Sesekali datuk mendahului aku, dan sesekali aku merasa ada sesuatu yang mengekori kami dari belakang. Sesekali juga aku menoleh kebelakang, tiada sesiapa yang mengekori.
 
"Apa yang kau pandang tu Ucu ?" Tanya datuk..

"Takde apa la tuk...." jawab ku cepat..
 

 Teringat rumah datuk
 
Kami sampai dirumah waktu remang senja. Kakak-kakakku, Uda, Andak, Uteh dan Tam (Itam) menyambut kepulangan kami. Aku menghulur buah berembang pada Tam. Nenek sedang menutup pintu reban ayam.
 
Selepas solat Isyak, kami membuat kerja-kerja sekolah dan mentelaah buku. Dikesempatan itu aku menceritakan apa yang berlaku pagi tadi kepada kakak-kakakku. Mereka mendengar dengan penuh minat.
 
"betul ke atuk cerita Ucu ni?" Tanya Uda kepada datuk.

"Ucu kau tu kuat berkhayal...." jawab datuk sambil menghirup kopi pahit tanpa gula.

"Pembohong....." Kata Uda diikuti deraian ketawa kakak-kakakku yang lain.

Aku hanya diam sambil memandang nenek. Nenek tersenyum sahaja.

Lewat malam kami bersedia untuk tidur dalam kelambu. Kakak-kakakku satu kelambu. Aku seorang dalam kelambu kecil manakala datuk dan nenek satu kelambu di sebelahku. Sewaktu kakak-kakak ku sedang tidur, aku dengar suara datuk dan nenek sedang berbual perlahan.

"Ucu jumpa apa yang kita jumpa hari tu weh.." kata datuk kepada nenek.

"Kita percaya cakap dia tadi... tu yang kita senyum.." jawab nenek.

"Jangan beritahu kakak-kakak dia.." datuk berkata lagi..

"mmmm" jawab nenek..

Aku tak ingat bila aku tidur. Aku tersedar bila aku dengar suara perempuan memanggil aku dari luar rumah. Aku tak tahu pukul berapa, tapi rasanya tengah malam.. Aku bangun. Aku toleh kiri, kakak-kakaku sedang lena diulit mimpi. Aku toleh kanan, nenek dengan datuk pun sedang lena tidurnya. Aku baring semula..

"Ucu...... Ucu.......Ucu ....." Suara perempuan jelas memanggilku perlahan.

Suara itu rasanya di bawah rumah. Betul-betul dibawah lantai tempat tidurku... Aku selubung seluruh tubuhku dengan selimut. Kedengaran suara burung hantu bersahut-sahutan. Kemudian aku dengar cakaran kuku di bawah papan lantai. Aku mengigil ketakutan. Kemudian cakaran itu senyap.. Setengah jam kemudian aku memberanikan diri membuka selimut yang menutupi muka secara perlahan-lahan. Aku terperanjat. Seorang wanita berada dalam kelambu.... kelambu aku..... 
Episod 3 - Kampung Pohon Ketapang
 
Selepas solat Zohor berjemaah bersama datuk, aku pun cepat menuju ke perahu. Hati ini tidak sabar untuk singgah ke "Kampung Pohon Ketapang" . Wajah perempuan cantik itu seakan melambai-lambai kepadaku. Kalau bernasib baik, bolehlah aku singgah kerumahnya. Untung-untung dijamunya makan nasi. Aku mula memasang angan-angan.
 
Aku naik perahu terlebih dahulu, manakala datuk membuka ikatan tali perahu dan menolak ketengah sungai. Datuk melompat ke perahu bagai pahlawan, dan terus berkayuh mudik ke hilir. Petang itu cuaca agak redup. Di sepanjang perjalanan balik, aku melihat gelagat kera-kera melompat bergayut di pohon berembang disepanjang sungai. Sesekali datuk menyusuri tebing sungai melalui pohon berembang yang rendang. Kesempatan itu aku ambil untuk memetik buah berembang yang masak buat bekalan makan dan sebagai buah tangan untuk kakak-kakakku di rumah. Buah berembang yang masak rasanya masam-masam manis (Enak dimakan bersama garam atau kicap)

Lebih kurang satu setengah jam perjalanan, dari kejauhan aku mula ternampak pohon ketapang bercabang dihadapanku. Hatiku berdebar-debar. Lebih kurang 100 meter, aku mula nampak jeti tambatan perahu. Aku pasti, itulah kampung Pohon Ketapang yang ku lihat pagi tadi. Datuk mula menghampiri jeti tersebut disebelah kiri. Perahu kami berhenti dijeti tersebut. Aku dilanda kehairanan. Kenapa tiada kampung? Tiada orang-orang kampung, tiada perempuan, tiada lelaki, tiada budak-budak, malahan hutan rimba dihadapanku. Jeti tambatan perahu pula agak usang. Ia diperbuat dari belahan batang pinang.

"ha, kata nak singgah... naik la jeti tu..." kata datuk sambil menambat tali ditiang jeti.

Aku memandang datuk, mengharap belas agar kata-katanya itu tidak serius. Sebenarnya hati ini mula cemas dan seram. Tambahan pula suasana ketika itu cukup sunyi. Aku memandang sekali lagi di Kampung Pohon Ketapang. Sumpah, memang hutan belantara.

"takpe la tuk.. kita balik jer.." aku cepat memberi arahan.

Datuk tersenyum sinis sambil membuka ikatan tali perahu dan terus berkayuh ketengah sungai. Aku memandang ke hadapan dengan seribu persoalan.

"Orang dah bagi peluang singgah, tak mau pulak..." datuk mula berleter.

Aku diam sahaja. Setelah hampir 200 meter perahu kami meninggalkan Kampung Pohon Ketapang, aku menoleh kebelakang. Aku hampir pengsan apabila melihat seorang perempuan sedang melambai-lambai tangan kepadaku. Aku pasti, itulah wanita pagi tadi. Aku ingin memberitahu datuk, tapi suaraku tersekat dikerongkong. Pantas aku menoleh kehadapan dan tidak sanggup menoleh kebelakang lagi...

 

 
Siapakah wanita cantik di dalam hutan ini? (Gambar hiasan)