Episod 11 - Suara perempuan memanggil
Ke esokkan harinya, setelah solat Asar, Poksu dan Along mengajakku ke pekan Benut. Poksu hendak membeli bateri kering cap badak untuk pemain piring hitamnya. Maklumlah, bateri pemain piring hitamnya sudah kehabisan tenaga kerana sehari suntuk "dikerjakan" kami adik beradik. Dengan menaiki basikal kargo datuk, kami bertiga ke pekan Benut. Poksu mengayuh basikal, Along duduk dibelakang dan aku duduk diatas palang hadapan. Sesekali terasa semacam seekor beruk pula...
Perjalanan ke pekan Benut mengambil masa hampir setengah jam. Kalau datuk yang bawa basikal, rasanya mengambil masa satu jam. Kami singgah kedai di simpang empat. Sebuah kedai runcit India Muslim ( Syarikat M.M. Jelani Syarif ), namun bateri tiada. Maka kami pergi ke Tanjung ( pekan Benut yang sebenarnya ) yang jaraknya setengah batu dari simpang empat. Poksu ke kedai gambar (Kedai Chong Lor ). Kali ini kami bernasib baik. Bateri kering ada dijual. Poksu membeli empat biji bateri kering yang mana harganya tiga puluh sen sebiji. Poksu merungut dan menyatakan harganya mahal. Kalau di Singapura harganya dua puluh sen sebiji.
Sesudah itu Poksu ke Kedai Makan Mohamed. Kami makan rojak mamak ( rojak asma melayu ) dan air batu cendol Maidin. Aku yang memang teramat jarang dapat peluang makan selazat itu, makan dengan penuh taat. Setelah selesai makan, Poksu memesan rojak mamak untuk dibungkus ( untuk orang di rumah ). Kemudian kami pergi ke jeti kayu di Tanjung untuk melihat orang memancing. Di situ kami mendengar cerita dari salah seorang masyarakat Asli disitu, terdapat seorang pawang buaya yang handal dikalangan mereka yang dikatakan telah berjaya menangkap seekor buaya tembaga di Sungai Benut. Dikatakan Pawang tersebut telah menyelam tiga hari tiga malam dan timbul hari keempat bersama buaya tembaga yang telah pun terikat seluruh badan. Poksu mendengar cerita tersebut sehingga mulutnya terlopong luas. Rasanya kalau ada lalat, mahu masuk sepuluh ekor. Manakala Along hanya tersengeh hingga menampakkan gigi taringnya yang hampir nak terkeluar. Aku? Biasalah... hero yang penakut... diam.
Jalan ke Pekan Benut (macam musim bunga di Eropah)
Musim bunga berguguran di Benut
Sekolah pertama aku (1972) - Gambar 2014. Dulu takder pagar ni. Sekolah pun dari papan kayu.
Sekolah menengah aku tahun 70an
Agak lewat petang kami pulang kerumah. Dalam perjalanan hari sudah menjelang senja. Waktu ni kata datuk, iblis dan syaitan tengah suka menyakat. Nasib baik aku duduk di palang basikal. Bila dah dudukdihadapan ni, tak lah rasa takut. Cuma aku tengok Along asyik pandang belakang aje... ( kalau mengikut pesanan orang-orang tua , kalau jalan malam JANGAN PANDANG BELAKANG ). Setibanya simpang masuk kekampungku, kami melintas sebuah kebun kelapa terbiar. Waktu itu suasana agak gelap. Tiba-tiba terdengar suara perempuan menegur kami...
" dari mana tu bang ?..." Kedengaran suara perempuan itu disebalik rimbunan pohon senuduk yang tumbuh meliar di kebun terbiar sebelah kanan kami.
Aku tidak menoleh. Tak tahu lah Poksu dan Along menoleh atau tidak. Apa yang aku rasakan pergerakan basikal menjadi perlahan. Suara Poksu tercungap-cungap mengayuh seakan membawa bebanan yang cukup berat.
"Bang... tunggu lah dulu..." Suara perempuan itu seakan merayu.
Bunyi nya seakan dia mengekori kami. Tak tahu samada dia di atas kami atau di belakang kami. Apa yang aku tahu waktu itu aku hampir terkencing. Mengapalah keadaan ini selalu berlaku kepada aku. Mungkin dugaan kepada manusia penakut.
"Bang...." Kedengaran suara perempuan itu sayup jauh kebelakang.
Kayuhan Poksu semakin laju dan laju sehingga menghampiri rumah datuk. Sebelum Poksu betul-betul berhenti, aku dah terjun meluru ke anjung rumah. Aku melihat Along telah terlebih dahulu berada di anjung rumah datuk. Dia pun dua kali lima dengan aku. Penakut.
Apabila kami masuk kerumah, Datuk, nenek dan kakak-kakakku sedang solat Maghrib berjemaah. Cuma Tam yang tak boleh solat. Dialah yang membuka pintu rumah tadi. Dengan tidak membuang masa, kami mengambil wuduk dan masuk berjemaah sekali. Setelah selesai solat, aku tidak mandi keperigi kerana masih takut. Begitu juga dengan Poksu dan Along. Malam itu, kami makan malam bersama rojak mamak yang dibeli Poksu petang tadi.
Siapakah perempuan misteri ini?





No comments:
Post a Comment