Episod 10 - Jalan dipenuhi darah
"ALLAHU AKBAR !!!" Tiba- tiba aku terdengar suara datuk berteriak dengan lantang. Aku masih lagi memejamkan mata sambil tanganku tidak lepas memeluk badan datuk. Bunyi ribut masih dapatku dengar, tapi rasa benda yang mencuit-cuit belakangku sudah tidak ada lagi. Kemudian bunyi ribut tadi perlahan-lahan tidak kedengaran lagi. Aku masih lagi tidak berani membuka mata. Tangan ini masih erat memeluk belakang datuk.
"Sudah.. benda tu dah pergi..." Kata datuk yang masih lagi tenang mengayuh basikal.
Aku membuka mata perlahan-lahan. Keadaan sekeliling masih gelap, cuma dihadapan cahaya suram lampu basikal datuk menerangi jalan yang berbelok-belok. Aku memberanikan diri menoleh ke belakang. Gelap. Tiada benda tadi yang mengikuri. Tiada kunang-kunang. Hatiku merasa sedikit tenang. Kami sampai di simpang Parit Rambai ( kawasan Tanah wakaf perkuburan ), menandakan sudah hampir ke rumah. Rasa-rasanya sudah jam sebelas malam. Datuk masih lagi membaca ayat-ayat suci Al Quran. Aku turut membaca sama surah mana yang aku hafal.
Pemandangan indah kawasan kubur diwaktu malam
Akhirnya kami selamat sampai dirumah. Hatiku merasa lega. Datuk mengarahkan aku mandi sebelum tidur. Kakak-kakakku seperti biasa bagai "murai tercabut ekor" sibuk menanya kepada datuk kenapa balik lewat. Datuk menyuruh mereka bertanya kepada aku. Dan dengan selambanya aku menjawab,
"Singgah rumah Perdana Menteri" lantas aku terus masuk kedalam kelambu. Namun Uda sempat memulas telinga kiriku.
Keesokkan harinya heboh satu kampong bercerita tentang tedapat kesan tompokan darah sepanjang jalan dari persimpangan Parit Rambai hingga jalan menuju ke surau ( jalan yang aku dan datuk lalui malam tadi). Orang - orang kampong mengatakan bahawa hantu penanggal telah melalui jalan itu. Ini ditambah dengan cerita terdapat beberapa orang saksi yang terserempak dengan hantu penanggal malam tadi.
Salah seorang daripadanya Mahat Badok, seorang pemuda Alif Ba Ta (Angkatan Bujang Tua). Satu kampong di jaja cerita tentang pengalamannya di kejar Hantu Penanggal. Menurut cerita Mahat Badok, malam tadi lebih kurang jam sembilan setengah malam, dia hendak ke tandas. Biasa lah, dulu-dulu tandas rumah kampong terletak di luar. Sesudah melepaskan "hajat besar" , tiba-tiba Mahat Badok terserempak dengan kepala terapung dengan usus perut terjuntai di depan pintu rumahnya. Apa lagi, Mahat Badok pun bertempiaran lari satu kampong sambil Hantu Penanggal mengejarnya dari belakang.
Di pendekkan cerita, Mahat Badok mendapat satu akal. Maka dia lari menuju ke reban ayam Kak Semah Janda. Hantu Penanggal yang mengejarnya tidak berani mendekati reban ayam kerana ditakuti ayam-ayam akan mematuk perutnya yang terjuntai. Maka Hantu Penanggal itu pun berlalu pergi. Kata-kata Mahat Badok disokong oleh Kak Semah Janda, kerana malam itu dia ternampak Mahat Badok direban ayamnya. Kak Semah Janda terdengar bunyi ayam bising-bising, lalu dia keluar rumah dan didapati Mahat Badok tercongok direban ayam.
Entahlah. Bukan aku sahaja yang pening. Orang-orang kampong lagi pening. Ini adalah kerana Mahat Badok dan Kak Semah Janda memang ada skandal yang nak ditutupnya. Manakala peristiwa yang aku dan datuk alami malam tadi, tidak kami hebohkan. Itu telah menjadi rahsia antara kami. (Sebulan sesudah itu barulah kami difahamkan bahawa tompokan darah disepanjang jalan itu adalah darah seekor anjing yang telah ditetak oleh Abon (peraih getah kampong kami). Ini adalah kerana anjing tersebut telah membaham ayam peliharaannya. Itu pun cerita sebenar ini diketahui setelah Mahat Badok dan Kak Semah Janda telah berkahwin selepas ditangkap basah oleh orang-orang kampong).
Petang itu kami dikejutkan dengan kedatangan pakcikku, Poksu, (anak lelaki bungsu datuk) dan Along (abang ku yang sulung) ke rumah datuk. Mereka berdua belum berkahwin dan tinggal bersama kedua ibubapaku di Singapura. Kedua-dua mereka bekerja sebagai buruh binaan ( atau dulu dikenali dengan nama kerja kontrak ) di sana. Mereka akan balik kampong dua atau tiga bulan sekali membawa kiriman sedikit wang dari bapaku kepada datuk untuk perbelanjaan harian menanggung kami adik beradik. Biasanya Poksu dan Along akan duduk di kampong dua atau tiha hari. Kedatangan mereka mengembirakan kami kerana dapatlah kami merasa buah-buahan seperti epal, limau dan buah lai yang tidak ada dikampung. Apa yang lebih mengembirakan kami ialah Poksu telah membawa pemain piring hitam yang baru dibelinya di Singapura. Pemain piring hitam ini menggunakan bateri kering cap badak. Antara piring hitam yang dibawa ialah A.Ramli, Jefreydin, J.Kamisah dan lain-lain. Kami, adik beradik duduk mengelilingi pemain piring hitam sambil asyik menghayati lagu-lagu tersebut.
Pemain piring hitam
Piring hitam


No comments:
Post a Comment